Saturday, July 16, 2011

Mahkota Untuk Abah

“Abah, maafkan Zahar. Andai Zahar tahu hasrat abah. Andai Zahar tahu impian abah. Andai Zahar tahu rahsia hati abah. Zahar takkan bantah cakap abah. Zahar akan mengaji Quran sungguh-sungguh dengan Ustaz Fadhil. Zahar akan tunaikan impian abah kala abah masih disisi,” sayu kedengaran suara Ustaz Azhar.

          Jiwanya dibentur gundah. Dia baru usai menghadiahkan bacaan Yassin buat abah. Ustaz Azhar mengusap-usap lembut batu nisan. Seakan-akan dia membelai kepala abah. Raut wajahnya terpampang rasa terkilan.

        “ Zahar buka kelas Al-Quran untuk orang-orang tua sekarang. Zahar mengajar sepenuh masa di situ. Ramai pakcik-pakcik dan makcik-makcik datang mengaji. Seronok Zahar tengok semangat mereka. Bersungguh-sungguh benar mereka mahu belajar Al-Quran. Kalaulah abah ada…,”

           Zahar tidak dapat meneruskan bicara. Kerongkongnya terasa perit. Air yang bertakung di kekisi  mata sudah lama berjujuhan.

      “Abah, semalam Zahar mimpi. Zahar lihat abah dipakaikan mahkota yang sinarnya terang benderang. Lebih bercahaya dari sinar matahari. Wajah abah berseri-seri. Abah pandang Zahar. Abah senyum. Tak pernah Zahar tengok abah senyum semanis itu. Kalau boleh, waktu itu Zahar tidak mahu celikkan mata. Biarlah Zahar terus pejam dan menikmati senyuman abah. Adakah abah sudah ampunkan Zahar? Abah, Zahar rindukan abah,” Ustaz Azhar menyeka air mata yang kian tidak terbendung.

************ ********* ********* ********* *******

Wajah Zahar berkerut menahan sakit. Rasa tidak puas hati menyembur-nyembur dari anak matanya. Dikerling betis yang kini berbalar. Kesan-kesan merah tampak jelas. Air mata ditahan. Tidak dibenarkan walaupun setitis gugur. Menangis ertinya lemah. Abah tidak adil. Kenapa dia sahaja yang selalu kena marah. Kenapa dia sahaja yang selalu dirotan. Kenapa mesti dia yang selalu menjadi mangsa. Abah memang tidak sayangkan dia. Abah hanya sayangkan Kak Sarah.

Dia menjeling tajam ke arah Kak Sarah. Geram membuncah di hati melihat muka selamba Kak Sarah yang seolah-olah mengejek-ejeknya. Kak Sarah memang sengaja hendak kenakan dia. Kak Sarah memang gatal mulut. Kak Sarah tidak patut memaklumkan abah tentang hal dia mandi di sungai hujung kampung sekaligus tidak menghadiri kelas agama. Kak Sarah memang menyibuk.

Muqaddam dan papan rehal di atas meja direnggut kasar. Kakinya sengaja dihentak-hentak ketika berjalan. Berdetap-detup bunyi papan lantai dipijak.

“ Nanti!” Kak Sarah menahannya.

“Apa lagi!” sergah Zahar. Mukanya merona merah.

“Tak mahu pakai kopiah ke?” Kak Sarah berlembut. Cuba menyiram api kemarahan adiknya.

Cepat-cepat Zahar menyentap kopiah lusuh di tangan Kak Sarah. Ternyata Kak Sarah gagal menyejukkan hati Zahar. Zahar lemas selalu dileteri abah. Abah selalu membanding-bandingkan dirinya dengan Kak Sarah. Abah selalu memuji-muji Kak Sarah. Memang dia tidak nafikan Kak Sarah punya banyak kelebihan berbanding dirinya. Darjah tiga Kak Sarah sudah khatam Al-Quran. Setiap tahun Kak Sarah naik ke pentas menerima anugerah pelajar cemerlang.

Dengan keputusan yang memberangsangkan dalam UPSR Kak Sarah dapat melanjutkan pelajar di sebuah sekolah menengah sains. Memang Kak Sarah menjadi kebanggaan abah dan emak. Sebaliknya, Zahar masih membaca Muqaddam walaupun kini sudah berusia sepuluh tahun. Namanya kerap juga dipanggil waktu perhimpunan kerana tidak siap tugasan yang diberi oleh guru ataupun ponteng kelas.

Dia lebih suka menghabiskan sepanjang petang memancing ikan atau mandi sungai di hujung kampungnya daripada menghadiri kelas agama. Kadang-kadang dia berbasikal hingga ke kampung seberang semata-mata mahu bermain bola sepak. Pada malam hari, budak-budak lain terkocoh-kocoh pergi mengaji di rumah Ustaz Fadhil, Zahar bersama-sama dua tiga rakannya yang lain seronok berlumba basikal keliling kampung.

Abah runsing memikirkan tentang anak jantannya yang seorang ini. Degilnya bukan sedikit. Puas Zahar dirotan dan dihukum oleh abah. Pernah abah mengikat Zahar pada batang pokok rambutan di belakang rumah kerana ponteng kelas mengaji. Habis badan Zahar merah-merah digigit kerengga. Pernah juga Zahar dikurung di luar rumah kerana pulang dari bermain lewat petang. Namun, semuanya hanya hangat-hangat tahi ayam. Insafnya hanya bertahan beberapa hari sahaja. Kemudian Zahar kembali dengan sikap bebalnya.

Lantaran itu, Zahar acapkali dimarahi dan dileteri abah. Tiada hari yang dilalui Zahar tanpa bebelan dan jalur-jalur merah pada tubuh kecilnya. Mujur ada emak. Emaknyalah yang selalu mempertahankannya apabila dia dimarahi abah. Ketika abah mengangkat rotan, Zahar cepat-cepat berlindung di belakang emaknya.

“ Esok kita akan bertolak selepas subuh. Pakaian dan barang-barang keperluan dah siap di kemas Zahar?” suara garau abah mengejutkan Zahar. Lamunannya terganggu. Raut wajah ayu Nadzirah, anak Haji Rahman yang bermain-main dalam anak matanya sebentar tadi pecah berkecai.

“ Sudah abah,” Zahar gugup. Matanya disapa sayu.

Esok Zahar akan berpisah dengan Nur Nadzirah. Zahar akan dihantar melanjutkan pelajar di sebuah pondok di Kelantan. Keputusan UPSR yang corot menyebabkan dia tidak berjaya menempatkan diri di mana-mana sekolah menengah berasrama penuh mahupun sekolah menengah sains. Abah mengambil keputusan menghantar Zahar mendalami ilmu agama. Itu memang impian abahnya selama ini. Abah tidak mahu Zahar bergaul lagi dengan rakan-rakan yang biadap tingkahnya.

Pada mulanya Zahar berasa tertekan amat. Zahar terkongkong dengan pelbagai peraturan dan pantang larang sepanjang berada di pondok. Kebebasan bermain dan merayau-rayau bersama rakan-rakan yang pernah dinikmati suatu masa dulu tidak dapat dilaksanakan lagi kini. Setiap hari, Zahar perlu menghadap Al-Quran. Bukan sekadar membaca, menghafal malah! Zahar juga perlu mengulit pelbagai kitab-kitab tebal seperti Fathul Muin, Riyadhus Salihin, Kutub Sittah, Syarah Ibn Aqil dan Ihya Ulumiddin sebagainya.

Segala kerja rumah harian seperti membasuh, melipat dan menyeterika baju terpaksa dilakukan sendiri. Zahar agak ketinggalan berbanding sahabat-sahabat lain kerana Zahar masih merangkak-rangkak membaca Al-Quran. Lantaran itu, dia tidak dapat menghantar banyak hafalan baru sewaktu tasmi’ dengan ustaz. Penguasaan bahasa arabnya juga lemah.

Pernah disuarakan pada abahnya untuk berhenti belajar di pondok dan menyambung saja pengajian di sekolah menengah biasa. Namun abah tidak ambil pusing. Mahu tidak mahu, Zahar cuba menyesuaikan diri. Dia cium tangan, pipi dan dahi panas abah seperti biasa pagi Jumaat itu sebelum bertolak pulang ke pondok selepas menghabiskan cuti beberapa hari di rumah.

Ketika usai solat asar petang hari yang sama, mudir madrasah, Ustaz Zamri tergesa-gesa berjumpanya. Dia terjelepuk longlai mendengar berita pemergian abah. Petang itu juga dia pulang semula ke kampung halamannya. Bagai mimpi. Sabtu keesokan hari Zahar mencium pipi dan dahi sejuk abah yang tidak lagi bernyawa.

Kata emak abah meninggal ketika menanti waktu asar menjelang. Tiba-tiba sahaja jantungnya gagal berfungsi.Wajahnya masih dibasahi titisan air wudhuk kala malaikat maut bertandang. Zahar harapan abah. Zahar sandaran abah. Suatu hari nanti, apabila Zahar sudah pandai mengaji dan mahir ilmu Al-Quran ,abah mahu belajar dengan Zahar. Abah tidak tahu baca Quran. Ibu hendak ajarkan dia tidak mahu. Abah hendak Zahar yang ajarkan dia. Zahar anak abah..

Setiap hari dia panjatkan doa agar Allah lembutkan hati Zahar dan mudahkan Zahar belajar Quran. Abah malu untuk berguru dengan Ustaz Fadhil. Katanya sudah senja sangat untuk berguru lagi. Bicara ibu beberapa hari selepas abah dikebumikan bersimpongang di indera dengar Zahar. Tiada air mata yang tumpah kala itu. Bukan Zahar tidak sedih. Bukan Zahar tidak tersentuh. Cuma segala-galanya berlaku tanpa diduga.

“Orang yang membaca Al-Quran sedangkan dia mahir melakukannya, kelak mendapat tempat di dalam Syurga bersama-sama dengan rasul-rasul yang mulia lagi baik. Sedangkan orang yang membaca Al-Quran,tetapi dia tidak mahir, membacanya tertegun-tegun dan nampak agak berat lidahnya yakni dia belum lancar, dia akan mendapat dua pahala. Hadis ini diriwayat oleh Bukhari dan Abul Husain Muslim bin Al-Hujjaj bin Muslim Al-Qusyaiy An-Nisabury dalam dua kitab Shahih mereka,” Ustaz Zamri menyejukkan hati Zahar tika Zahar mengadu kesukarannya membaca Al-Quran apatah lagi menghafalnya.

“ Ustaz, bagaimana mungkin saya lakukan untuk membantu abah yang tidak mengenal huruf-huruf Quran jauh sekali membacanya?” Zahar melontar pertanyaan yang terbuku dalam hatinya. Ustaz Zamri mengelus-elus janggutnya yang kian memutih. Air mukanya tenang. Hati pasti akan damai memandang kejernihan wajahnya.

“ Zahar ajarlah abah. Di sini Zahar belajar sungguh-sungguh ilmu Quran. Kemudian bila pulang ke kampung Zahar kenalkan abah dengan Kalamullah ini. Ingat, sebaik-baik kalian adalah yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya. Orang tua ini selalunya ego. Dia segan nak pergi belajar dengan orang lain. Tentu dia malu. Mungkin dia akan lebih selesa jika yang mengajarnya itu darah dagingnya sendiri, apatah lagi kalau anak sendiri,” Ustaz Zamri menepuk-nepuk lembut belakang badan Zahar.

“Tapi abah Zahar sudah tiada lagi...”Zahar bersuara. Perlahan.Dia menekur hamparan hijau yang dijadikan alas duduk. Angin yang menghembus dari ruang tingkap bertiup kasar menampar-nampar tubuh Zahar. Angin seperti mengutuk Zahar kerana dosa-dosa lampau pada abah. Sedih mengasak-ngasak sanubari.

“Barangsiapa membaca Al-Qur’an dan mengamalkan isinya, Allah memakaikan pada kedua orang tuanya di hari kiamat suatu mahkota yang sinarnya lebih bagus dari pada sinar matahari di rumah-rumah di dunia. Maka bagaimana tanggapanmu terhadap orang yang mengamalkan ini,” Ustaz Zamri memetik kembali hadis riwayat Abu Dawud yang pernah dibaca sewaktu dalam kelas Al-Quran.
           
Ketika itu mereka sedang menekuni kitab At-Tibyaan fii Aadaabi Hamalatil Quran karangan Imam Nawawi. Zahar terpegun. Zahar menyeka air matanya. Wajah Ustaz Zamri direnung. Ada semangat menyelinap dalam lipatan hatinya. Biar dia masih bertatih membaca Kalam Allah. Biar dia tidak hebat seperti Kak Sarah dalam pelajaran. Biar sahabat-sahabat jauh meninggalkannya di belakang. Dia tidak akan putus asa.Dia akan mendalami bersungguh-sunggguh ilmu Quran dan mengamalkannya.

Dia mahu hadiahkan abah mahkota itu. Dia mahu abah miliki mahkota itu dan menghuni syurga Ilahi walau abah tidak pernah menyelak lembaran Quran apatah lagi membacanya. Angin kembali berpuput mesra. Seolah-olah memujuk Zahar. Seolah-olah merestui impiannya. Allahuakbar!! Allah maha besar...... 


****************************

Karya asal dipetik daripada Majalah al-Itqan Ver.17 - Majalah Rasmi SMKA Tun Ahmad Zaidi, Kuching




Nukilan Sdr.Muhammad Asyraf
2010

No comments:

Post a Comment