Monday, May 31, 2010

Juh Blaja Bahasa Sarawak Siri 2 ^_^


Alhamdulillah, post ana yang bertajuk "Juh Blaja Bahasa Sarawak Siri 1" telah lama ana letakkan dalam blog ana yang tak seberapa ini. Setelah dilakukan beberapa kajian dan pengumpulan perkataan-perkataan Sarawak, kini ana akan menyambung lagi "Juh Blaja Bahasa Sarawak" untuk Siri yang kedua pula. Disini, ana sertakan lagi perkataan-perkataan yang boleh sama-sama kita kongsikan bersama supaya semakin mantap pemahaman dan kamus perkataan dalam minda kita ini.  ^_^

  • Nok ya - Yang itu / That one
  • Nok tok - Yang ini / This one
  • Nok ney - Yang mana / Which one
  • Siney - Mana / Where
  • Kenak - Kenapa / Why
  • Giney - Macamana / How
  • Sia - Sana / There
  • Sinun - Di sana / Over There
  • Sitok - Sini/Here
  • Polah - Buat / Do
  • Kinek tok - Sekarang / Now
  • Kelak - Kemudian / Later
  • Ngagak - Datang / Come
  • Mupok - Beredar / Leave
  • Juak- Juga/Also
  • Ari Marek- Hari semalam / Yesterday
  • Aritok - Hari ini / Today
  • Kedak ya - Macam itu / Like that
  • Nang - Memang
  • Mun - Kalau / If 
  • Empun - punya / own
  • Bait - Baik / Good
  • Jaik - Jahat / Bad
  • Gago - Sibuk / Busy
  • Lan - Jom / Lets
  • Tek - Tadi / Just now
  • Pok/Bok - A term for friend, i.e mate
  • Deng - Sayang / Darling
  • Nemiak - Budak-budak / Kids
  • Rami - Ramai / Lots
  • Bulak - Bohong / Lie
  • Paloi - Bodoh / Stupid or Dumb
  • Ceridak - Pengotor / Messy
  • Sigek - Satu / One
  • Tetak - Ketawa / Laugh
  • Embak- Bawa / Bring
  • Nekik - Panjat / Climb
  • Singkol - Kekok / Uneasy or Awkward
  • Tunggah - Panggil / Call 
  • Ngegeh - mengada-ngada
  • Pisok - Pisau / Knife
  • Manok - Ayam / Chicken
  • Pusak - Kucing / Cat
  • Asuk - Anjing / Dog
  • Ngabas - menziarah / visiting
  • Gadong - Hijau / Green
  • Gerek - Teman lelaki atau perempuan / Boyfriend or Girlfriend
  • Kalas - Merah jambu / Pink
  • Cali - Lawak / Funny
  • Lepeh - Lipas / cockroach
  • Ngagak - Datang atau jumpa / meet
  • Nemu @ temu - Jumpa / meet - found 
  • Diat - Tengok@lihat - look 
  • Cangkir - Cawan
  • Tedah - Kesian
  • Prei@perei - Geli hati / very very funny ^_^ 
  • Moha - Mengamuk/ rampage
  • Kempang - sampai hati


Selain itu , antara keunikan Bahasa Sarawak ialah persamaan perkataan antara Bahasa Melayu dengan Bahasa Sarawak tetapi berbeza maksud...  Haa...  Unik kan???  Anda ingin tahu???  heheh.. Jom..  ^_^
Perkataan disebelah kiri adalah Bahasa Melayu baku manakala yang sebelah kanan adalah Bahasa Sarawak yang sama  ejaan dengan bahasa Melayu tetapi berbeza maksudnya...
  • Kacak (untuk lelaki) - Cantik / Pretty
  • Lawa (Untuk perempuan) - Sombong/Snob
  • Nyaman (Perasaan lega@nyaman) - Sedap/Delicious
  • Belon (Belon untuk ditiup)  - Kapal Terbang /Aeroplane
  • Kelakar (Lawak) - Cakap atau Bersembang / Speak or Talk
  • Padah (akibat) - Beritahu / Tell 
  • Kepak (sayap) - Penat / exhausted 
  • Tangga (tangga@ladder) - Tengok
Tambahan lagi, oleh kerana faktor-faktor seperti penjajahan bangsa Orang Putih di Borneo seperti Rajah Putih Sarawak, James Brooke, maka banyak juga perkataan yang asalnya adalah bahasa inggeris dihiijrahkan kedalam Bahasa Sarawak seperti ;
  • Raget = Rugged
  • Gomen (Kerajaan) = Government
  • Len Sabi (Pejabat Tanah) = Land and Survey
  • Speta = Hospital
  • Nerep = Drive
  • Ilek = relax
  • Boop (Buku)  = Book
  • Prempan = frying pan
  • Gohet (Ke depan) = Go Ahead
  • Bol - Ball
  • Mupok (mintak diri) - Move Off
  • Pengilan (Kenduri) - Free Lunch
Setakat ini ana hanya sempat menulis yang terlintas difikiran sahaja. Andai kata ada orang Sarawak atau yang fasih berbahasa Sarawak ingin membetulkan dan menambahkan lagi kosa kata ini, dipersilakan...

p/s ; Buat sesiapa yang tahu berbahasa Sarawak, ingin ana ajukan dan minta di terangkan apa maksud :

  • Arum Bulak (bukan harum tipu)
  • Indah

Sekian...  ^_^

Sunday, May 30, 2010

Lagu UiTM


UiTM Di Hatiku


Wujudmu di sini
Di tanah anak merdeka
Bagai obor ilmu
Memayungi putera puterinya
Pelopor hidup,budaya bangsa,agama,negara
Pembentuk akhlak manusia
Agar jadi sempurna

Ku yang melangkah di sini ingin mempelajari
Rahsia di muka bumi dengan cara hakiki
Tunjukkan aku jalan ilmumu untukku menuju
Destinasi cita-cita negara

Majulah bangsa
Maju negara
Berkat usaha jaya MARA
Kami berikrar akan berjasa
Hingga kita berjaya
Demi bangsa

Watikah yang ku miliki kan ku semat dihati
Janji ku pada pertiwi untuk menabur bakti
Ku sempurnakan seikhlas hati membela negara
Doa restu ayah bonda ku untuk mu semua

UiTM...USAHA,TAQWA,MULIA

Komposer & Lirik: Osman Mohamed

Klik Disini Untuk Muat Turun Lagu Ini



Wawasan Setia Warga UiTM

Bersatu kita warga UiTM
Kita bangsa perkasa
Taat dan setiaku untuk negara
Penuh semangat waja
Kita...jangan mudah terlupa
pengorbanan, perjuangan anak bangsa
Kita...jangan mudah terleka
kemajuan,keamanan yang ada
Kita...berterima kasih
pada pemimpin-pemimpin negara
Kita… rasa penuh bersyukur
kerahmatan, kemuliaan darinya
Kamilah pendokong, pewaris bangsa
Kamilah pendaulat, bangsa Malaysia
Kamilah warga berwawasan
Untuk Negaraku.

Komposer: Sahar Sa’di Hashim
Lirik: Dato’ Prof. Dr. Ahmad. Hj. Zainuddin

Klik Disini Untuk Muat Turun Lagu Ini

Saturday, May 29, 2010

A Great Journey Part 2 : Minggu Destini Siswa (MDS)

A Great journey Part 1 : New Life Begin

A Great Journey Part 2 : Minggu Destini Siswa (MDS)

 

24 Mei , Isnin
“la la la la la la la la la.... “, telefon bimbit ana berbunyi. Penggera telefon ana menunjukkan jam 5.30 pagi. Alhamdulillah Allah masih memberikan peluang untuk ana hidup dan bernafas seperti biasa. Ana segera mematikan penggera tersebut dan membuka lampu sambil mengejutkan rakan serumah ana. Hanya kami berdua yang menghuni rumah tersebut. Air dingin membasahi diri. Wah.. nyaman sekali badan rasanya.. Selepas solat subuh, ana pergi ke bilik kuliah. Disana, semua pelajar berkumpul bagi menghadiri Pendaftaran Utama. Semasa pendaftaran utama, semua pelajar dikehendaki untuk menyerahkan segala dokumen yang berkaitan untuk disimpan dan direkod oleh Hal Ehwal Pelajar UiTM (HEP). Kira-kira pukul 10.30 pagi, pendaftaran utama selesai dan bas untuk ke Jengka pun sampai. 3 buah bas sampai sekaligus dan kembara ke Kampus Utama UiTM Pahang di Jengka pun bermula.
Perjalanan mengambil masa 2 jam lebih merentasi hutan dan bandar sementara penghuni bas UiTM majoritinya sedang dibuai mimpi indah.
Setibanya kami di sana, kami ditempatkan di Asrama Siswi (tetapi kosong kerana pelajar senior belum lagi mendaftar diri). Selepas mengambil kunci bilik, B234, ana terus memilih katil dan memasang cadar. Ahli bilik B234 terdiri daripada 4 orang. Kemudahan yang disediakan boleh dikatakan lebih bagus kerana katil 2 tingkat disana diperbuat dari kayu,jadi ia tahan lasak berbanding katil besi di asrama Padang Lalang. Selain itu, meja yang disediakan 2 kali ganda lebih besar. Begitu juga dengan almarinya. Ana kira almari tersebut boleh dimasuki orang kerana saiznya yang lebih besar. Kemudian, semua pelajar diminta untuk pergi ke Masjid Uwais al-Qarni untuk sama-sama berjemaah. Usai solat berjemaah, kami beramai-ramai berjalan ke Dewan Serba Guna (DSG) atau lebih dikenali dikalangan senior sebagai “Dewan Sejuk Giler”.
Benar.. dewan itu memang “Sejuk giler”.. hehe.. Disana, Program PMDS berjalan seperti yang dirancangkan. Selepas solat asar berjemaah, kami dibawa pula mengelilingi sekeliling kampus utama UiTM Pahang melalui program Kembara Kampus UiTM di Hatiku. Berdasarkan apa yang dikatakan OC, keluasan kampus tersebut adalah dalam beratus-ratus ekar dimana masih banyak lagi bangunan yang sedang dibina bagi menampung kemasukan pelajar pada sesi yang akan datang. Tambahan lagi, jalan yang mengelilingi kampus tersebut jaraknya kira-kira 5KM (wallahualam). Walaubagaimanapun, mungkin fakta tersebut adalah penipuan OC semata-mata dalam usaha untuk menyusahkan kami disamping menyebabkan kami berfikir yang kami akan kepenatan berjalan sekeliling kampus tersebut. Namun begitu, alhamdulillah kerana ana tidak berasa penat kerana pada petang itu programnya agak santai. Mungkin juga kami hanya berjalan kurang daripada 5KM. Entahlah.. hanya mereka yang tahu.. :(

Selepas penat berjalan, kami dibawa ke kantin untuk menikmati santapan makan malam. Walaupun juadahnya tidak seberapa, namun ana bersyukur kerana masih dapat menjamah makanan lagi-lagi ketika perut sedang kosong. Selepas solat maghrib, kami mendengar santapan rohani yang banyak memberi pengajaran dan iktibar sebelum beramai-ramai berjalan ke DSG bagi Program Motivasi Kendiri. Program tamat kira-kira jam 11 lebih. Kami dinasihatkan agar bangun awal dan berkumpul tepat pada masanya agar hukuman tidak dikenakan pada kami. Undang-undang yang digunakan senang dan ringkas, “seorang salah semua kena”.


25 Mei, Selasa
Pagi yang agak malang buat semua. Pagi tersebut ana bangun agak lewat kerana jam penggera tidak berbunyi. Semalam, kami diarahkan untuk berkumpul tepat pada jam 0515. Pagi tersebut ana terbangun jam 0440. Namun begitu, itu bukanlah penghalang bagi ana untuk mandi kerana selepas ana mengira masa yang digunakan, ana sempat untuk mandi dengan masa yang banyak berbaki. Selepas bersiap, ana segera pergi ke bawah asrama. Semasa menuruni tangga, ana lihat para siswa dan siswi berjalan tergesa-gesa menuju ke Masjid Uwais al-Qarni. Maksudnya, kami kesuntukan masa ataupun kami akan dikenakan hukuman. Ana hanya mengikut mereka dari belakang. Setibanya ana di masjid, arahan diberikan kepada siswa dan siswi untuk berkumpul di Padang Kawat yang terletak beberapa langkah saja dari masjid tersebut. Dalam keheningan pagi, ana dengar ada OC yang melalak menggesa pelajar untuk cepat masuk ke dalam barisan.
Selepas barisan siap, satu soalan ditimbulkan oleh OC ;
“Apa salah kamu pagi ni ha ???!!!” , tanya OC tersebut.
Ketika soalan tersebut diajukan, ana blur dan x mengjangkakan perkara itu akan berlaku. Rupa-rupanya masalah tersebut dikecohkan oleh pelajar siswi. Penghuluwati tersalah dengar yang semua pelajar harus berkumpul di Uwais al-Qarni, bukannya di bawah asrama masing-masing. Jadi oleh kerana kealpaan mereka, semua pelajar ikut serta pergi ke Uwais kerana ingat yang arahan baru telah dikeluarkan untuk berkumpul disana. Nah, rasakan.. haha.. Kerana susu setitik rosak nila sebaldi.. ^_^
Selepas insiden-insiden yang agak kurang menyenangkan, akhirnya kami dilepaskan untuk solat berjemaah dan ke kantin untuk sarapan pagi. Kalau tak salah ana sarapan pada pagi tersebut ialah nasi goreng. Kemudian pelajar diarahkan untuk bergegas ke DSG bagi menghadiri Taklimat Akta 174 dan Taklimat Keselamatan. Kemudian menyusul pula Taklimat Koordinator Kampus oleh Prof Madya Dr. Jelani Sulaiman atau lebih dikenali sebagai “Dr. J” .
Selepas itu latihan perasmian untuk Malam Majlis Perasmian diadakan. Antara pengisian untuk latihan perasmian tersebut ialah menghafal dan menyanyikan lagu UiTM di Hatiku dan Wawasan Setia Warga UiTM. Petang itu, kami beriadah di Dataran Integrasi. Acara senaman dikawal oleh wakil dari Hospital Jengka. Antara senaman yang dilakukan ialah Chicken dance dan Poco-poco.haha.. luarbiasa sungguh.. Inilah kali pertama ana melakukan senaman tersebut. Inilah kali pertama dan kali terakhir.. hehe.. 
Malam tersebut selepas makan malam dan berjemaah, kami bersiap untuk Majlis Perasmian dan Amanat oleh Pengarah Kampus Khazanah Alam Jengka. Pelbagai amanat yang diberikan oleh beliau agar kami menjadi siswa dan siswi yang berguna kelak. Acara tamat pada pukul 10 lebih dan pelajar dilepaskan ke asrama masing-masing selepas jam 12 tengah malam.
26 Mei, Rabu
Pagi ini semua berjalan dengan agak lancar. Pelajar Siswa semuanya bangun awal dan “terpacak” di dataran bersebelahan asrama. Namun begitu, ada juga pelajar siswi yang datang agak lewat seterusnya menyebabkan para OC agak “meletup”.Sabar je la.. ^_^
Kemudian selepas solat subuh dan sedikit tazkirah, kami berjalan menuju ke kantin untuk bersarapan. Selepas itu, kami berjalan menuju ke DSG bagi menghadiri Taklimat Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan Taklimat Hal Ehwal Asrama (HEA). Juadah yang disediakan pada tengah hari tersebut agak istimewa iaitu nasi minyak. Sedap betul.. hehe.. selepas itu kami solat Zohor dan kembali semula ke DSG bagi menghadiri Taklimat Program Oleh Penyelaras Asasi Undang-undang manakala Taklimat untuk Asasi TESL di Auditorium 2..
Petang itu, sukaneka berlangsung di padang bola UiTM Jengka. Antara permainan yang diadakan ialah Simpulan Sayang dan Semakin jauh Semakin Sayang. Selepas itu setiap kumpulan diminta menghantar wakil untuk permainan tarik tali. Malangnya, kumpulan kami kalah.. :(
Malam tersebut, kami menghadiri Majlis Bersama Tokoh di DSG. Tokoh yang dibawa khas untuk berkongsi pengalaman hidup bersama kami ialah Dato' Shahaniza Hj Shamsuddin merangkap ADUN Kuala Sentul. Katanya, pengalaman yang dikongsi itu jadikan iktibar dan semangat agar boleh dijadikan kekuatan dan peningkat semangat di masa hadapan. Malam tersebut berjalan dengan jayanya....


26 Mei, Khamis
Hari yang indah. Ana bangun awal. Dan turun ke dataran dengan penuh bersemangat. Jam menunjukkan pukul 5.15 . Ramai siswa dan siswi berkumpul. Masa berlalu dengan pantas. Sudah pukul 5.30 tetapi kami masih “terpacak” disitu. Rupa-rupanya masih ada lagi siswi yang berada dalam asrama. Ah.. meletup lagi la OC.. Arahan kemudian menyuruh kami bergegas ke Masjid Uwais al-Qarni. Solat subuh berjemaah didirikan dan seperti biasa pergi ke kantin untuk sarapan pagi. Pagi itu, kami menghadiri Ceramah PIN dan Program Bersama Pembantu Minggu Destini Siswa. Di penghujung program, entah kenapa, semua OC mengamuk.
“Kepada semua siswi yang rasanya turun lewat ke dataran, sila pergi sekarang kehadapan dewan!!!”, jerit ketua OC. Pergilah mereka ke hadapan. Ramai sungguh. Mereka di sedarkan dengan pelbagai cara. Kesian. Selepas itu ketua OC menjerit pula. Beliau memanggil seorang siswi untuk naik ke atas pentas. Kata OC, siswi ini buat banyak kesalahan tetapi tidak mengaku. Selepas ditengking-tengking, OC itu bertanya kepada kami, “ Korang tau tak ape salah dia???”. Kami pun menjawab, “Tak tau..”.
Sambung OC,” saya sebagai kawan korang nak cakap.supaya korang tahu. Sebenarnya kan, HARI NI HARI JADI DIA.” Haha.. tak sangka betul.. memang kejutan.. ^_^ Lepas tu kami dilepaskan untuk makan tengah hari dan bersiap untuk pulang.
6 buah bas setia menunggu. Ana menyimpan barang ke dalam perut bas dan naik ke atas bas. Alhamdulillah, dapat juga ana merehatkan diri. Yayy.. akhirnya Minggu Destini Siswa tamat. Hehe..


~Tamat~

Friday, May 28, 2010

A great journey Part 1 : New Life Begin


A Great journey Part 1 : New Life Begin

A Great Journey Part 2 : Minggu Destini Siswa (MDS)



  Alhamdulillah, syukur ke hadrat ilahi kerana dengan limpah kurniaNya ana masih berpeluang untuk menulis didalam blog ana ini..

21 Mei, Jumaat
Sehari sebelum ke semenanjung..
Hari-hari terakhirku di Sarawak..  ^_^

Tengah Malam Hari Jumaat - Satu SMS dari Abg Syed Hamid* masuk kedalam inbox hp ana yang lebih kurang berbunyi (ana ingat-ingat lupa sebenarnya),
"Salam Asyraf, esok hari kitak free x?mok ngajak keluar makan.Dak Azrul pun ada jwak"
(salam asyraf, esok hari awak free tak?nak ajak keluar makan.Azrul** pun ada ikut juga)
 * Senior ana, mantan YDP PERKEPIS
**senior ana juga, kini Timb. YDP PERKEPIS merangkap penulis Novel Galaksi Muhsinin

Maka ana pun membalas SMS tersebut,
"Insyaallah.. Jumpa esok ^_^ "

Jadi selepas solat Jumaat, ana pergi ke Sekrertariat Perkepis yang bersebelahan  dengan Masjid At-Taqwa, Gita. Disana ana bertemu dengan Sdr.Azrul Jaini, Sdr. Syahmeer, Sdr. Syed Hamid dan Sdr. Hishamuddin.
Kemudian kami beramai-ramai pergi ke Hartz'S Chicken Buffet. Alhamdulillah, ada hamba Allah yang belanja ana ..  hehe..

Tanggal 22 Mei, sabtu
Pada tarikh keramat ini, pengembaraan ana dalam pencarian ilmu yang hakiki di muka bumi ini bermula. Tepat jam 1215 ana sampai di Lapangan Terbang antarabangsa Kuching dari rumah. Di sini, di tempat inilah tapak-tapak permulaan bermula. Selepas mendaftar masuk, ana dan abah ana masuk ke Golden Club Lounge Malaysia Airlines. Sungguh, ini kali pertama ana masuk ke tempat sebegitu rupa. Cantik dan mewah.  Keberadaan ana disana bukanlah kerana ana ini tergolong dalam golongan yang mewah tetapi kerana ana dapat tiket free untuk ke sana. Jadi, tidak salah kan jika ana ingin merasa pergi ke tempat tersebut. Di sana ana menjamah sedikit makanan dan sempat solat di dalam musolla. Ana terkesima. Ana tidak menyangka yang tempat tersebut teramat jauh beza kemasan dan kebersihan berbanding kemudahan untuk orang awam. Selepas ana berwudhu’, ana masuk kedalam musolla tersebut. Seperti yang ana telah kata sebelum ini, tempat tersebut kemas dan bersih. Alhamdulillah, itu sesuatu yang bagus. Tetapi ana sedih. Mengapa musolla untuk orang awam tidak dijaga sebegitu rupa?? Sebelum ini ana pernah bersolat di musolla untuk orang ramai. Berdasarkan pemerhatian ana, musolla tersebut basah, berbau dan tidak dijaga dengan baik. Adakah musolla yang bersih adalah untuk orang-orang yang kaya ?? Entahlah.. Mari kita sama-sama renungkan dan ambil iktibar.

                Kemudian, ana dan abah ana pergi ke pintu yang telah ditetapkan  untuk menaiki kapal terbang. Semasa dalam perjalanan untuk ke kapal terbang, ana terlihat pada seseorang. Rupa-rupanya rakan sepersekolahan ana, Cik Ainin Sofia yang juga menaiki kapal terbang yang sama dengan ana. Beliau juga bakal mendaftarkan diri di UIAM pada esok hari (Ahad) manakala ana di UITM Kuantan. Selepas menegur beliau, ana segera mencari tempat duduk ana. Selepas membaca doa  dan memasang tali pinggang keledar, ana merehatkan diri ana dan terlelap seketika. Selepas beberapa ketika ana tertidur, ana terjaga. Ana kini berada di atas awan bersama dengan pesawat MAS yang meluncur laju di angkasa bagai kapal yang belayar di laut. Ana diberi pilihan oleh pramugari samaada untuk memilih nasi bersama ikan ataupun nasi briyani dengan ayam. Pilihan ana ialah nasi briyani dengan ayam. Wah, beruap-uap nasi tersebut semasa ana membuka penutup bekas  aluminium  tersebut. Harum baunya.. hehe.. selepas ana menjamu selera di awan yang tinggi, ana merehatkan kembali diri ana sambil memasang mp3 qasidah dan mawlid. Tenang rasanya..


                Satu jam empat puluh lima minit kemudian, pesawat MAS tersebut selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Sejurus itu, ana dan abah ana mendaftar masuk ke MAS Golden Club Lounge. Di sana, ana terjumpa segala benda makanan yang jarang ana dapat jumpa ataupun ana dah jumpa tapi harga mahal sangat (ana ni tergolong dalam golongan tak berkemampuan) ^_^..

Antara juadah yang sempat ana merasa kerana tak pernah merasa sebelum ni ialah smoke salmon  sandwich dan macam-macam lagi. Di sana, ana dapat lihat macam-macam orang. Ada orang putih, orang india, orang arab. Masing-masing dengan cara yang tersendiri.  Ana?? Ana sekadar manusia yang tergolong dalam golongan sederhana yang baru pertama kali masuk ke tempat sebegitu. Kemudian, kami pergi ke pintu berlepas yang agak jauh juga jaraknya. 

                Perjalanan kini semakin jauh dari rumah, tetapi semakin ke destinasi ; Kuantan. Selepas kira-kira 40 minit, ana selamat sampai ke Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah. Walaupun setelah sekian lama ana tidak mejejakkan kaki di lapangan terbang tersebut, tempat tersebut masih sama seperti dahulu. Tiada banyak sangat perubahan. Masih dengan cara dahulu. Ana melangkah dengan bersahaja menuruni tangga kapal terbang. Takut juga kalau-kalau ana terjatuh kerana hujan rintik-rintik.

                Ana disambut meriah oleh mama , ayah dan kak long. Mama ialah insan yang pernah mengasuh ana ketika ana masih kecil hingga ana berada di bangku sekolah. Kemudian apabila ana berpindah ke Kuching,  kami berpisah. Mama ibarat ibu kedua bagi  ana. Selepas beberapa minit perjalanan pulang ke rumah mama, kami pun sampai. Malam itu, ana dijamu dengan masakan asli Pahang, ikan patin masak tempoyak. Nyum nyum.. sudah lama ana tidak menikmati juadah tersebut. Rindu kini terubat kembali.. Selepas solat isya, ana merebahkan diri dalam kepenatan...
23 Mei, Ahad
                Hari Ahad, hari dimana ana akan mendaftarkan diri di UiTM Kuantan, Jalan Bukit Sekilau. Kami semua tiba disana kira-kira jam 8 pagi. Ana tidak menyangka bahawa ramai yang sudah tiba disana. Ana terus beratur dan menyelesaikan pendaftaran ana di kaunter yang disediakan manakala kaum ibu bapa pula diminta untuk masuk kedalam dewan bagi mendengar taklimat daripada Pengarah Kampus UiTM Kuantan. Semasa pendaftaran, ana diberitahu bahawa “rumah” kedua ana di Kampus Kuantan 2 Padang Lalang dan semua pelajar baru bakal menjalani Majlis Destini Siswa (MDS) ataupun minggu orientasi di Kampus Utama Pahang iaitu di Jengka. 

                Perjalanan ke Kampus Kuantan 2 hanya mengambil masa beberapa minit sahaja dari Kampus Kuantan 1. Setibanya kami disana, ana dapat melihat ramai pelajar yang sudah memasuki bilik mereka ditemani dengan kaum keluarga masing-masing. Rumah yang bakal ana duduki ini ialah Bilik B2-7. Bilik tersebut dapat ana katakan sebagai “Cukup” bagi ana. Walaupun sempit, namun kemudahan asas tetap ada seperti katil 2 tingkat, meja belajar, tempat letak kasut dan almari. Manakala bilik airnya berada didalam bilik pelajar itu sendiri. Jadi ana berasa amat bersyukur kerana ana tidak perlu keluar dari bilik ana untuk pergi ke tandas. Jadi segala kerja mencuci baju dan membersihkan diri boleh dilakukan dengan cepat dan selamat.  Selepas mengenalpasti keperluan yang perlu dibeli, ana pergi ke East Coast Mall (ECM) dan MYDIN. Alhamdulillah, segala keperluan ana dibeli disana.

                Malam tersebut, semua pelajar diminta untuk menghadiri taklimat di Bilik Kuliah yang berada di bawah asrama kami. Disana kami diminta untuk memilih Penghulu dan Ketua bagi Asasi TeSL dan Asasi Undang-undang. Disamping itu, kami dikenalkan dengan barisan OC (Orientation Coordinator) dan pelbagai taklimat diberi pada malam tersebut. Kira-kira hampir tengah malam, taklimta tersebut tamat dan ana balik ke bilik dan mengemas pakaian untuk dibawa ke Kampus Utama Pahang, Jengka. Oh, lupa ana beritahu..  Rakan serumah ana ialah seorang pelajar lepasan MRSM Johor dan juga pelajar undang-undang seperti ana. Selepas solat, ana tidur dalam kepanasan malam.. huhu..


Bersambung  A great journey Part 2 : Minggu Destini Siswa (MDS) ...

Thursday, May 20, 2010

Juh Blajar Bahasa Sarawak - Siri 1.... ^_^


Juh Blaja Bahasa Sarawak bermaksud Mari Kita Belajar Bahasa Sarawak. Ana ni seorang yang berasal dari Negeri Terengganu Darul Iman, tetapi kini menetap di Kuching, Sarawak yang kini hampir 8 tahun disini..
Jadi ana ingin berkongsi serba sedikit ilmu yang ana dapat di negeri bertuah ini dan keunikan yang tiada dimana-mana tempat didunia ini, iaitu Bahasa Sarawak...  Sesungguhnya tanpa bahasa lumpuhlah komunikasi, tanpa bahasa hilanglah ketamadunan manusia... Alhamdulillah ana dapat menguasai bahasa Sarawak ini walaupun sedikit cuma..

Bahasa Sarawak - Perkataan Asas

  1. Kamek- Saya / Me
  2. Kitak - Awak / You
  3. Sik - Tidak / No
  4. Iboh - Jangan / Don't
  5. Aok - Ya / Yes
  6. Nya - Dia / He / She
  7. Ya - Itu / That
  8. Tok - Ini / This
  9. Mok - Nak / Want
  10. Sidak - Mereka / Them
Sekian sahaja untuk post kali ini..  Insyaallah ana akan tambah lagi untuk Juh Blajar Bahasa Sarawak Siri 2.. hehe.. Walaupun tidak seberapa, namun ia tetap ilmu..  Mungkin anda jarang mendengar perkataan-perkataan ini, namun disini (Sarawak), ini adalah kami..  Kepada para pembaca yang dari luar lingkungan Sarawak, anda mungkin boleh melatih diri anda dengan perkataan-perkataan asas Sarawak supaya perjalanan dan pengembaraan anda di Sarawak menjadi lebih senang andaikata anda sesat, atau ingin memesan makanan, anda tahu apa yang ingin dikatakan..  ^_^

Wednesday, May 19, 2010

Taat atau Takut ???

Kisah ini benar-benar terjadi padaku sewaktu aku kanak-kanak dahulu.
Ayah aku suka memberi amaran padaku dengan menjeling garang jika aku membuat sesuatu yang tidak disukainya. Contohnya, jika ke kedai, kalau aku mengambil gula-gula, dia akan menjeling padaku bermakna aku disuruh letakkan semula gula-gula itu ke tempatnya semula.



Suatu hari,aku mengikut ayah ke surau untuk solat maghrib.Ketika sedang rukuk, aku melihat kain pelikat tok imam tersepit di celah punggungnya. Aku yang 'konon'nya ingin membantu, terus menarik kain yang tersepit itu. Ayahku yang sedang solat terus memberi jelingannya padaku. Aku pun faham maksudnya itu, lalu terus memasukkan semula kain pelikat tok imam itu semula ke celah punggung tok imam tadi. Apalagi,melatah lah tok imam tadi. Habis satu jemaah batal solat mereka kerana turut terkejut dengan latahan tok imam tadi. Ayahku yang bermuka merah padam menahan malu dan marah mengheret aku balik ke rumah. Malam tu, berbirat punggung aku dirotannya.

********************************************************
Kisah di atas ini bukanlah sebuah daripada pengalaman hamba tetapi merupakan pengalaman orang lain yang ana dapat melalui e-mail.. Jadi "aku" di atas bukanlah merujuk kepada ana tetapi si empunya kisah tersebut.

Berbalik semula kepada kisah di atas, "aku" merupakan seorang anak yang boleh dikatakan sebagai seorang yang mendengar kata atau  tidak berani membantah kata ibu bapa. Antara bukti yang dapat kita lihat ialah apabila "aku" dan "ayah" pergi ke kedai. Si ayah tidak perlu menggunakan kekuatan suara atau tenaga untuk menegah "aku" daripada mengambil gula-gula tersebut tetapi sekadar menggunakan "kuasa mata". Dan reaksi daripada "aku" ialah memahami apa maksud "ayah" dan meletakkan kembali gula-gula tersebut. Jadi apa pendapat pembaca sekalian???   Taat atau takut ???

       Ana boleh dikategorikan sebagai generasi muda zaman kini. Jadi ana mungkin kurang dapat membezakan antara sikap anak-anak zaman dahulu dengan anak-anak zaman sekarang. Tapi berdasarkan kisah di atas, ana menjangkakan bahawa situasi di atas berlaku pada suatu masa dahulu. Mengapa ana berkata begitu??  ana mendapati bahawa tindakan yang dilakukan oleh si anak atau "aku" itu lebih kepada menghormati tapi pada masa yang sama takut kepada ayahnya itu.



  Dewasa ini, kita dapat melihat tindakan anak-anak yang majoritinya agak kurang adab. Itu pendapat ana sendiri. Melalui pemerhatian ana dan juga pembacaan, anak-anak zaman kini cenderung untuk menganggap ibu bapa mereka kurang penting berbanding rakan-rakan mereka. Benar bahawa rakan atau sahabat itu penting dan merupakan orang yang lebih lama meluangkan masa dengan kita. Tapi adakah ibu bapa perlu diketepikan?? Tepuk dada tanyalah iman. .

  Ana melihat hal ini secara luaran sahaja. Ana mendapati yang anak-anak masa kini kekuatan jiwa mereka untuk mendahulukan ibu bapa agak luntur berbanding dengan mereka pada masa dahulu..  Namun, tidak semua yang berpendirian begitu. Alhamdulillah ramai generasi kini masih lagi mengamalkan sikap-sikap yang mendahulukan ibu bapa dan itu adalah perkara yang bagus. Jadi apakah faktor yang mempengaruhi pemikiran anak-anak masa kini? Adakah kerana iklim setempat? atau pengaruh media massa? atau pengaruh rakan sebaya? ataupun kesan asuhan ibu bapa itu sendiri??
 
    Wallahuaalam..  Sama-sama kita fikirkan dan cuba perbaiki permasaalahan  ini. Pada masa yang sama, mari kita sama-sama berfikir sejenak apakah kehebatan orang-orang zaman dahulu sampai anak-anak mereka taat dan pada masa yang sama takut kepada mereka.. Ingatlah anak-anak bahawa syurga itu dibawah telapak kaki ibu. Namun bapa jangan pula dilupakan..  Jadi hormatilah dan muliakanlah ibu dan bapa anda semaksima mungkin selagi mereka masih ada disisi..  Jangan menyesal di kemudian hari jika anda gagal berbuat demikian pada masa kini.. Insyaallah, kita semua akan tegolong dalam golongan yang memuliakan ibu bapa dan diberikan keredhaan dari Allah S.W.T...

Pepatah arab ada menyatakan , ;
"Keredhaan  Allah terletak pada Keredhaan Ibu dan Bapa"  ^_^

Saturday, May 15, 2010

Carta Top 10 di Dunia

Assalamualaikum w.b.t ..
Sebentar tadi ana sempat membuka e-mail ana untuk membaca email yang belum sempat ana baca.
Dalam timbunan email yang ana terima, ana telah membaca sebuah email yang membuat ana berfikir sejenak..

Artikel tersebut adalah tentang Carta Top 10 Usaha Manusia di Dunia.



Nauzubillahimin zaalik...  Semoga kita terkecuali dari tergolong dalam golongan tersebut...
Walaupun informasinya tidak seberapa, namun harap-harap dapat kita jadikan iktibar dalam kehidupan kita...

Dari Abdullah bin 'Amru ra, RasulAllah S.A. .W bersabda: " Sampaikanlah pesanku walaupun hanya satu ayat ".^_^
Semoga Allah Ta'ala membalas 'amal Ibadah kita.

Friday, May 14, 2010

Mari Kita Berprogram dan Beraktiviti... ^_^

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada para pembaca yang budiman..
Disini ana nak berkongsi sedikit makluman dan informasi kepada para pembaca sekalian..  ^_^

Antara program yang bakal berlangsung dalam seminggu dua ini ialah :


Qiam Putera



Pesta Layang - Layang

Kem Rumpun Ukhwah (KRU)





Kursus Asas Fasilitator Ideal (KAFI)
Siri Jelajah Sarawak


Jadi apa tunggu lagi..???  Peluang sudah ada..  Hanya anda yang mampu mengubahnya..  Hendak seribu daya, tak hendak takpe la.. heheh.. ^_^
Ana hanya sekadar berkongsi informasi.. terpulang kepada pembaca budiman semua untuk menyertai atau tidak.. yang pasti setiap aktiviti yang dijalankan ada hikmah dan faedahnya yang tersendiri..  ^_^

Wednesday, May 12, 2010

Selamat Hari Guru... Engkaulah Pembina Negara Bangsa...

Alhamdulillah, 16 Mei menjelma lagi. Hari di mana para guru diraikan secara besar-besaran di peringkat sekolah, negeri mahupun kebangsaan. Tema Hari Guru pada tahun ini ialah "Guru Pembina Negara Bangsa".
Teringat kembali kenangan ana bersama guru-guru di sekolah yang telah lama ana tinggalkan. Walau jauh di mata tetapi masih dekat dihati. kenangan bersama guru-guru yang telah banyak membimbing ana didalam pelajaran mahupun perkara lain tidak dapat ana lupakan..

Ana pernah menghadiri sebuah usrah. Naqibnya pernah membicarakan mengenai Bapa kepada manusia. Bapa kepada manusia terbahagi kepada 3 kumpulan, iaitu Bapa Jasad, Bapa Roh dan juga Bapa Mertua.

Bapa Jasad ialah bapa kandung kepada kita. Iaitu bapa biologi.

Bapa Roh pula ialah bapa yang memberi pengisisan kepada Roh kita. Dalam erti kata lain, ialah guru ataupun Mu'allim dalam bahasa arab. Merekalah yang mengajar dan memberi pengisian jiwa kepada seluruh umat manusia.

Manakala yang terakhir ialah Bapa Mertua. Bapa Mertua ialah bapa kepada suami/isteri kita.

Selepas naqib tersebut menerangkan serba sedikit mengenai pengertian 3 kelompok bapa tadi, beliau menyambung lagi ucapannya.

   "Sesungguhnya Bapa yang paling Utama ialah Bapa Roh kerana peranan mereka dalam mendidik Roh kita untuk mengenali Allah dan juga sekalian alam dan ilmu yang ada. Tetapi yang paling afdhal ialah Bapa Roh yang juga ialah Bapa Jasad, iaitu bapa kandung kita yang juga merupakan guru kita."

Apa yang ana cuba sampaikan ialah kedudukan guru yang lebih tinggi tarafnya, bahkan lebih tinggi darjatnya berbanding bapa kandung sendiri! Sesungguhnya profession perguruan merupakan profession yang amat mulia disisi agama kita.


Berbalik semula kepada Tema Hari Guru 2010 ; Guru Pembina Negara Bangsa.
Disini ana sertakan sekali lirik lagu tema Hari Guru 2010.

GURU PEMBINA NEGARA BANGSA
Bersedia melangkah megah
Walaupun sukar baktiku curah
Demi mu ibu pertiwi
Sumpah ku lafaz janji kukota
Berikrar eratkan bangsa
Kukuhkan cinta kepada Negara
Berjasa terus berjasa
Menyebarkan ilmu tiada batasnya
Guru Pembina Negara Bangsa
Gagah perjuangkan visi Negara
Bangunkan jiwa yang pelbagai rupa
Demi agama dan nusa tercinta
Guru Pembina Negara Bangsa
Tetap Unggul senadakan suara
Sehaluan menggapai matlamatnya
Cemerlang dan gemilangkan Malaysia

Pencipta Lagu : Khairulrizam bin Khalid
Pencipta Lirik : Ili Nurbahirah bt Baharudin
Pengubah Muzik : Marzuki bin Tambi
 Mp3 boleh dimuat turun melalui website ini ;

*Muzik & vokal
*Vokal sahaja

 Kepada guru-guru yang berada diluar sana, semoga berjaya mendidik anak watan agar terealisasinya Wawasan 2020 dengan kebangkitan warisan modal insan bertaraf dunia yang patuh kepada agama , bangsa dan negara..



Dan kepada anak-anak murid sekalian, yang sedang menuntut ataupun sudahpun bekerja dan berjaya, jangan sesekali lupakan guru yang telah banyak membimbing anda.. Tanpa guru siapalah anda..  ???

Antara petikan kata-kata daripada Sayidina Ali,
"Kata Sayidina Ali : Jika tidak ada guruku, tentu aku tidak kenal Tuhanku."








Akhir kata, syukran jazilan ya mu'allim....  ^_^  Jasamu dikenang...

Monday, May 10, 2010

Tayar itu meluncur laju... Dan ....

Alhamdulillah, di kesempatan ini ana berpeluang untuk bercerita kembali kisah-kisah yang telah terjadi kepada diri ana..

Pada hari Sabtu dan Ahad yang lalu, ana berpeluang untuk membaiki Komputer Persendirian (Personal PC) dan komputer riba seorang daripada sahabat ana ..  Jadi selama 2 hari ana berambeh (Bertandang) ke rumah beliau..

Bagi khidmat ana selama 2 hari, ana menerima imbuhan yang bagi ana sudah cukup kadarnya. Jadi dengan gembira ana pulang ke rumah. Selepas itu, ana bercadang untuk pergi membeli barang di kedai yang berdekatan...


Hujan renyai-renyai membasahi jalan..  Baunya amat menyegarkan sesiapa yang menghidunya..
Ana dengan penuh hati-hati menunggang motosikal Honda EX5 kepunyaan abah ana.

    "Vroom.. Vroom.." ,  motosikal itu berbunyi..

Ana selamat tiba di kedai runcit tersebut... selepas ana membayar di kaunter dan mengambil barang yang telah dibeli, ana pun segera menaiki motosikal dan berlalu dari situ..  Hujan pula tidak selebat sebelumnya..

Ana menunggang mtosikal tersebbut dengan kelajuan "selamba", iaitu makan angin. Pada masa yang sama ana lihat ramai orang di padang berdekatan kedai runcit tersebut. Mereka sedang mengadakan perlawanan rupanya, terdetik hati ana. Walaubagaimanapun, ana sekadar melihat sekali pandang sahaja kerana nawaitu ana hanya untuk sampai ke rumah dengan segera. Kemudian, ana membelok di sebuah selekoh.



Tanpa diduga, motosikal ana tersasar dan terseret sedikit kehadapan. Ana bagai didalam mimpi.. Rasa terbang di awangan.. Mujurlah ana menunggang motosikal ana dengan kelajuan "selamba"..  Tidak dapat ana bayangkan bagaimana keadaan ana jika kelajuan "selamba" yang ana bawa itu bertukar kepada kelajuan "lumba"..

Kemudian, ana jatuh..  motosikal menghempap kaki ana..  Barang yang ana beli terpelanting ke dalam semak..  Cermin mata ana terbang jauh ke hadapan..  dan jam tangan ana entah tercampak dimana..  ana bingkas bangun..  Menelengkupkan tangan ana ke muka seperti selepas berdoa..  Ana segera bertahmid dan bersyukur kerana keadaan ana tidaklah seteruk mana.. hanya sekadar luka dan calar di tangan..  Mujurlah ana memakai seluar jeans, jadi kaki ana selamat daripada calar dan luka..  Ada hikmat juga menutup aurat ini.. hehe..  Kemudian ana terus mencari cermin mata ana. keadaan ana pada waktu itu amat kabur, oleh itu ana mencari cermin mata dahulu. Selepas ana menemukan cermin mata ana, ana terlihat jam ana di penjuru jalan. ana segera mengambilnya. Rupa-rupanya jam ana putus dua. Nasib baik hanya tali jam tersebut yang putus ; walaupun ia adalah jam tangan besi. Dan beberapa kesan calar di permukaan jam tersebut. Alhamdulillah, jam tersebut masih berfungsi. Pada masa yang sama, ada seorang hamba Allah yang berpakaian sukan datang menghampiri ana. Beliau datang bertanyakan keadaan hamba dan menolong hamba mengangkat motosikal ana yang terbaring kaku. Selepas itu beliau pun kembali ke padang tadi.



Selepas diamati, rupanya selekoh itu mempunyai kesan-kesan tumpahan minyak. Ditambah lagi dengan air hujan, maka jadilah kombinasi keaadaan jalan yang berbahaya bagi pengguna jalan raya tersebut. Walaupun kelajuan motosikal ana adalah rendah, tayar motosikal ana tidak dapat mencengkam permukaan jalan menyebabkan tayar tersebut menjadi licin dan menjatuhkan ana..  Ana selamat walaupun dengan hanya beberapa kesan luka , calar dan baju yang agak kotor.



Pada malam tersebut, ana diziarahi oleh beberapa orang senior ana dan sahabat-sahabat ana dari PERKEPIS. Syukran jazilan kepada mereka kerana sudi datang ke teratak buruk ana untuk melihat keadaan ana. Syukran jazilan kepada Abang Hisham, Abang Nu'aim, akhi Rahim dan akhi Faizal.

Jadi, ana berpesan kepada semua agar berhati-hati dijalan raya kerana malang itu tidak berbau.. Jadi semasa anda di atas jalan raya.. Jalan Pandang Belakang.. hehe..  ^_^

Friday, May 7, 2010

Berakhirnya Suatu Penantian.. :)

16 April 2010
Hari yang ditunggu-tunggu bagi semua lepasan SPM 2009 yang ada memohon untuk kemasukan ke Matrikulasi..
Ana dengan penuh bersemangat menghantar SMS ke 1588 bagi menyemak samaada ana bernasib baik untuk pergi ke matrikulasi atau sebaliknya.. Detik demi detik.. Saat demi saat berlalu.. Akhirnya SMS ana dijawab.

"Dukacita dimaklumkan bahawa anda tidak berjaya"

Oh.. Jadi jawapannya adalah tidak berjaya, bermakna ana perlu membuat keputusan samaada untuk membuat rayuan semula atau setia menunggu bagi semakan Kursus Perguruan Lepasan SPM (KPLSPM) dan juga UPU.
Selepas diteliti, ana mendapati bahawa ana layak untuk Program Perakaunan.. Ohh.. Sungguh diluar jangkaan..
Bagaimana ana dapat menjangka jawapan sedemikian??? Memang tidak pernah ana fikirkan langsung mengenai Perakaunan.. Akaun bank ada la.. Jadi ana lupakan hasrat ana untuk berjuang ke matrikulasi.


25 April 2010
Jam 0000

Pada malam tersebut ana masuk tidur lewat dari kebiasaan. Sejak ana menjadi calon lepasan sekolah ni tidur lewat itu sudah sebati dengan diri ana.. Kadang-kadang ana main permainan komputer, baca novel atau buku.. Tak pun ana sekadar menonton tv. Jadi pada malam tersebut ana agak teruja kerana tepat jam 12 tengah malam tersebut semakan untuk Kursus Perguruan Lepasan SPM boleh dibuat melalui Atas Talian. Ana sekadar dapat teruja begitu sahaja kerana ana tidak dibenarkan untuk atas talian pada lewat malam. Jadi ana tangguhkan niat ana buat sementara waktu..

Jam 0700

"Tutt tutt.. Tutt tutt.. " , telefon bimbit ana berbunyi.. Rupa-rupanya SMS daripada sahabat ana dari semenanjung. SMS tersebut bebunyi begini,

"Salam, awak tak dapat untuk ke Program KPLSPM. Tunggu UPU je la.k, salam.. "


Sekali lagi, ana hampa. huhu.. :(
Oleh yang demikian, ana berharap jawapan daripada UPU dapat melegakan hati.


Hari yang ditempuh semakin mendebarkan. Tanggal 1 Mei yang ditunggu bukanlah sesuatu yang senang untuk ditunggu.
Benarlah kata orang tua-tua " Sesungguhnya penantian itu suatu penyeksaan "

30 April 2010
Hati ana gundah gulana.
Dalam hati terdetik, "Aku dapat ke tak UPU ni.. Kalau tak dapat macam mana.. "
"Terpaksa la masuk tingkatan 6 kalau cam ni.. '

Pada malam tersebut, ana di atas talian. Ana seperti biasa membuka akaun Facebook ana. Memeriksa apa yang perlu.. Tiba-tiba, ada seorang sahabat ana memberi ana sebuah link untuk sebuah laman sesawang. Ana pun buka dengan segera.
Rupa-rupanya laman sesawang tersebut adalah aplikasi atas talian untuk menyemak kemasukan ke IPTA. Ana dengan pantas menaip no IC ana kedalam kotak yang disediakan.

Sebuah laman sesawang yang lain muncul...

''Tahniah! Anda telah berjaya ditawarkan program pengajian seperti berikut...** "

Rupa-rupanya pada malam tersebut aplikasi tersebut boleh diakses melalui atas talian. Sesungguhnnya ana adalah diantara orang yang beruntung kerana ana berpeluang menyemak keputusan ana sebelum ramai lagi rakan2 lain mengetahuinya. Dalam erti kata lain, ana tidak perlu berebut trafik dengan rakan-rakan seperjuangan lain dari seluruh Malaysia. Syukran jazilan kepada sahabat ana, Saudara Aizat Ikhsan kerana telah memberi ana link tersebut..

Akhirnya, berakhirnya suatu penantian... ^_^

**Ana ditawarkan Program Asasi Undang-Undang di UITM Kuantan.. Insyaallah ana akan pergi kesana.. Mohon agar didoakan keselamatan dan kejayaan ana di sana.. Amin ~

Thursday, May 6, 2010

Ahlan ~

Salam dan selamat ke atas junjungan mulia Rasulullah S.A.W dan para sahabat serta Ahlul Bait, para tabiein dan tabi' tabien..

Alhamdulillah pada hari yang penuh dengan barakah ini hamba sempat untuk menyiapkan blog hamba yang tidak seberapa ini..
Inysaallah akan ana penuhi dengan info-info yang bermanfaat untuk semua dan pelbagai input yang berguna..

Insyaallah..

Ana Asyraf,
Dari sebuah tempat yang indah di dunia.... ^_^